Friday, April 3, 2009

Kekosongan Jiwa




Kemajuan ekonomi dan teknikal sahaja, sistem yang kerobotan (kosong dari segi kerohanian) tidak mungkin membahagiakan manusia. Kemewahan kebendaan dan kekayaan tidak mungkin memberikan kebahagian jiwa yang abadi. Kedua-dua itu tidak akan berjaya menyelamatkan manusia dari kesakitan, kematian dan kegelapan jiwa.

Hanya iman yang dapat membahagiakan semua insan itu, dari sehina-hina insan hinggalah semulia-mulia insan Hanya iman yang akan menjaga keutuhan kesatuan bagi berdepan dengan kehidupan yang penuh bergelora. Hanya iman yang akan menukarkan satu hati yang gelap kepada satu punca cahaya yang lembut, segar dan bersinar.

Iman adalah kekuatan yang akan menyokong manusia dalam menghadapi setiap bencana yang menggerunkan jiwa manusia, dari sekecil-kecil kuman hingga kepada gempa bumi yang dahsyat. Apa tidaknya; kita bersandar kepada Kekuasaan yang mengawal seluruh ‘alam dengan pengamatan yang rapi; Allah Rabbul Jalil, Yang Maha Perkasa, Maha Suci dan Maha Agung.

Sejarah manusia sebenarnya adalah sejarah keimanan dan kekufuran kepada Allah SWT. Sejarah telah memberi pengajaran kepada kita bagaimana akibatnya mereka yang telah mengkufuri Allah SWT. Dan sejarah telah menunjukkan kepada kita bagaimana Allah telah membinasa suatu golongan kerana kekufuran mereka dan Allah telah memuliakan satu golongan yang lain kerana keimanan mereka.

Keimanan wujud bersama manusia yang pertama di dunia ini. Sejak itu Allah telah mengajar manusia tentang tugas dan jalan yang harus dilalui bagi menemui kebahagian di dunia dan di Akhirat melalui Rasul-rasul dan kitab-kitab Nya. Muhammad SAW dan Al Quran adalah Rasul dan KitabNya yang terakhir yang membenarkan kitab-kitab yang terdahulu. Seterusnya mengesahkan seluruh risalah mereka.



“Ummat manusia pada zaman ini sedang mencari satu cahaya iman yang sebenarnya. Fikiran mereka telah tenggelam dalam kekusutan faham falsafah kebendaan (materialisme). Fikiran yang gelap penuh dengan keraguan. Hati yang luka parah oleh cara hidup tidak bertujuan yang diilhamkan oleh tamaddun yang kejam. Mereka tidak sedar akan maksud penciptaan mereka dan seluruh ‘alam semesta ini. Mereka sunyi dan amat dahagakan belaian kasih sayang”


(Badi’uzzaman Said Nursi)

No comments: