Thursday, April 16, 2009

Di Persimpangan Jalan




Umat Islam hari ini benar-benar berada di persimpangan jalan. Islam dengan berbagai perisa dan pewarna telah menyelubungi kehidupan mereka hingga mereka menjadi keliru dalam memilih jalan hidup yang lurus; mereka gagal memilih watak-watak atau keperibadian (syakhsiyah) sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Ini semua adalah merupakan konspirasi dan perancangan musuh-musuh Islam. Umat Islam kini tidak lagi memiliki syakhsiyahnya sendiri bahkan menumpang syakhsiyah-syakhsiyah lain yang tidak ada hubungannya dengan Allah SWT dan hari Akhirat. Yang ada hari ini hanyalah syakhsiyah ghusaiyyah (keperibadian buih), pemuda-pemudanya yang mudah terikut-ikut dengan apa saja trend semasa.

Di antara hasil lain konspirasi dunia menentang Islam dan Muslimin ini adalah menyebarkan terrorism dengan pembunuhan di beberapa negara Arab dan Islam di bawah banner Islam untuk menggambarkan Islam adalah agama terrorism dan kekerasan. Tohmahan ini telah diperkuatkan lagi oleh media massa barat sedangkan Islam sebenarnya adalah suci daripada tohmahan-tohmahan ini, serta tidak mengiktiraf peristiwa-peristiwa kekerasan, penyembelihan dan pembunuhan yang berlaku di Mesir dan Algeria. Tetapi pemburukan ini bermaksud untuk memberontak dan merupakan satu tipu daya terhadap setiap negara ataupun kumpulan yang membawa bendera Islam.

Sesungguhnya musuh telah menggunakan kelemahan orang-orang Islam dan tiadanya kesatuan di kalangan mereka untuk memberikan berbagai pukulan di segenap penjuru terhadap orang-orang Islam di dalam usaha menghapuskan mereka ataupun memecahkan kekuatan mereka, seperti yang berlaku di Bosnia, Chechenia, Kashmir dan lain-lain. Tetapi orang-orang Islam telah bertahan, contohnya sekatan ekonomi terhadap beberapa negara Arab Islam seperti Iraq, Libya, Sudan dan Iran. Kemudian mereka cuba untuk menguasai ekonomi di pasaran Timur Tengah terhadap negara-negara setempat. Mereka juga membenarkan musuh zionis memiliki senjata nuklear sedangkan ianya diharamkan ke atas negara-negara Arab dan Islam. Begitu juga penguasaan politik terhadap kebanyakan negara-negara pengeluar minyak, di mana penetapan permuafakatan dengan mereka telah mengizinkan kewujudan askar asing di sana supaya petroleum di Teluk sentiasa mengalir ke Barat.

Begitulah kita mendapati perancangan yang keji untuk konspirasi ini merebak ke medan antarabangsa untuk menentang negara-negara Arab dan Islam, terutamanya selepas hancurnya sosialism. Di sana terdapat suatu pemusatan terhadap Mesir dan tekanan ke atasnya kerana kedudukannya di dunia Islam. Adapun konspirasi itu melalui peperangan pada tahun 1967 dan apa yang didapati daripadanya iaitu penjajahan beberapa bahagian daripada negara-negara Arab di sekitar Palestin. Kemudian konspirasi itu berlaku melalui pengiktirafan Mesir terhadap kewujudan zionis perampas dan keluarnya Mesir daripada perlumbaan (peperangan) dengan Musuh, kerana keamanan besar yang diberikan kepadanya. Maka lemahlah negara-negara Arab yang lain terutamanya negara-negara yang berjiran dan negara-negara yang Musuh telah membinasakan buminya, serta Musuh masih enggan untuk keluar daripadanya. Begitu juga, konspirasi itu merangkumi pemisahan Mesir daripada Sudan, percubaan memisahkan utara Sudan daripada selatannya dan pemberontakan John Garang serta pemberian senjata kepadanya untuk memerangi kerajaan Sudan.

Membina Semula Ummah

Kita perlu membina semula ummah yang bermula dengan membangunkan pemuda-pemudanya dari lena yang panjang. Keperibadian mereka perlu dibina semula supaya menepati keperibadian atau syakhsiyah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kisah-kisah singa zaman silam perlu digembar gemburkan semula setelah sekian lama yahudi dan konco-konconya cuba memadamkannya dari sejarah kehidupan umat Islam hingga ummat kita kini kehilangan kebanggan masa silam lalu berpijak pada dahan-dahan yang rapuh untuk membangunkan ummat yang serba lemah.

Pembinaan ummah ini bermula dengan pembinaan peribadi-peribadi mukmin. Peribadi-peribadi yang meyakini Allah dan segala janji-janjinya, meyakini Hari Akhirat dengan segala siksaan dan azabnya serta merindui syurga dengan segala kenikmatannya.

Asasnya untuk kita menangani permasalahan ini adalah sebagai satu permasalahan Rabbani bagi menentang musuh Allah. Dan musuh-musuh ini bukanlah semata-mata tentang perampasan tanah tetapi perampasan keperibadian dan perampasan ummah. Allah telah berfirman kepada kita bahawasanya
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya,
sedang Allah mengetahui…”
(al Anfal: 60).

Hendaklah kita mengetahui bahawa kekuatan yang pertama dan terpenting adalah kekuatan Iman yang melayakkan kita untuk mendapat pertolongan Allah, yang mana dalam firmannya lagi:
“…demikianlah menjadi kewajiban atas Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman”
(Yunus: 103)

Maka janganlah kekuatan musuh dan orang yang membantunya menggerunkan kita kerana Allahlah yang lebih berkuasa lagi mulia. Bagi Allahlah tentera-tentera di langit dan di bumi, dan dialah yang menetapkan orang-orang yang beriman serta melemparkan perasaan gerun ke dalam hati-hati orang-orang kafir.

“Hai orang-orang beriman, jika menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”

(Muhammad: 7)

Dan barangsiapa yang berpegang kepada Allah nescaya Allah tidak akan mensia-siakannya selama-lamanya, dan barangsiapa yang mengharapkan pertolongan selain daripada Allah, Allah akan menghinakannya.

Yakinlah sahabat-sahabatku.

No comments: