Saturday, December 6, 2008

Rindunya subuh itu..



“Bangun..bangun…bangun . ”

“ Dalam kiraan 10….1, 2 , 3 …….10.”

Inilah laungan kejutan subuh oleh Ustaz Mahathir, warden atau ayahanda Pelajar MATRI memecahkan keheningan di pagi hari di asrama induk. Suaranya ibarat kejutan elektrik yang menggerakkan pelajar MATRI lantas kami bergegas dan berlari untuk menyiapkan diri untuk solah Subuh . Bagi pelajar yang masih dilamun mimpi, pasti akan dilemaskan dengan siraman air olehnya. Ini bukanlah suatu penyeksaan tetapi adalah Tadrib atau latihan bagi pelajar untuk solah Subuh secara berjemaah. Teringat kata-kata seorang Rabi Yahudi ;

“ Janganlah umat Islam bermimpi untuk mengalahkan Yahudi sehingga bilangan mereka yang solah Subuh berjemaah di masjid menyamai bilangan yang datang untuk solah Jumaat.”

Ketika sampai di musolla dan setelah azan Subuh, kadang-kala terdengar pula laungan.

“ Bangun solah sunat Subuh…. Bangun , pahala lebih baik dari dunia dan seisinya…”

Inilah laungan yang dilontarkan oleh Ustaz Abdul Hadi kepada pelajar . Beliau sering memotivasi kami untuk terus istiqamah dengan amalan ini yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasullullah saw. Amalan yang ringkas namun diganjari dengan pahala yang lebih baik dari dunia dan seisinya. Jika ustaz Hadi tidak hadir pada pagi itu, kadangkala terdengar suara yang diingatkan oleh para pengawas. Walaupun agak penat di pagi hari, namun motivasi yang diberi menggerakkan sebahagian besar pelajar untuk melaksanakan solah sunat Subuh. Secara tidak langsung , menggerakkan pelajar yang masih ‘ dilamun mimpi ’ di Musolla MATRI yang melihat kebanyakan pelajar bangun untuk solah sunat Subuh.

Sementara menunggu jam 6.15 pagi , masa untuk mendirikan Solah Subuh berjemaah, sebahagian pelajar akan mengambil Al-Quran untuk membaca dan menghafaz. Kadangkala, apabila ramai yang membaca Al-Quran seolah-olah kedengaran seperti lebah di sarangnya. Di MATRI, solah subuh didirikan agak sedikit lambat adalah untuk memastikan semua pelajar melaksanakan solah Subuh secara berjemaah di Musolla.

Apabila diiqamahkan oleh muazzin, seringkali solah Subuh diimamkan oleh Ustaz Abdul Hadi. Bacaannya yang sayup-sayup dan daripada hati yang begitu ikhlas, kadangkala men yebabkan jiwa ini runtuh dan mengalir air mata. Kadangkala juga beliau menangis dalam mengimamkan solah subuh. Hatiku ketika itu begitu sayu. Walaupun tidak memahami erti kandungan bacaan, namun mu`jizat Al-Quran sememangnya mampu menggetarkan jiwa manusia.

Setelah selesai menunaikan solah subuh berjemaah, jiwa kami diisi pula oleh mutiara-mutiara tazkirah beliau lebih kurang 10 minit dan membaca surah dalam juzu` Amma. Walaupun sebahagian besar daripada kami ‘ patah tengkuk ’( tidur ) , namun beliau tidak jemu-jemu untuk mencurah siraman iman di jiwa kami. Andaikata , ustaz Abdul Hadi tidak hadir pada pagi itu, pengawas mengambil tempat untuk mengetuai bacaan satu muka surat dalam Al-Quran. Bacaan Al-Quran walaupun ringkas tetapi amat diberi penekanan oleh beliau agar kehidupan harian ini senantiasa dimulakan dengan tuntutan berubudiah kepada Allah.

“Futhur….futhur….”

Kalimah ini bukanlah bermaksud merasa lemah setelah berjuang. Namun laungan Ustaz Abdul Hadi mengingatkan pelajar agar bergegas-gegas ke dewan makan untuk sarapan pagi. Terdapat juga sebahagian pelajar membaca Al-Quran atau Al-Mathurat bersendirian sebelum ke dewan makan.

Suasana subuh di bumi wakafan MATRI begitu indah. Tidak mampu digambarkan dengan tulisan. Hanya hati-hati serta jiwa-jiwa yang hidup mampu menghayati suasana tersirat di pagi Subuh. Walaupun dalam keadaan letih, kita mampu melatih jiwa kita untuk melaksanakan tuntutan Allah. Muka-muka adik-adik yang bersih dan abang-abang yang memberi qudwah di pagi hari, menerbitkan jiwa ini sentiasa aman dan tenteram. Siraman mutiara-mutiara yang tidak jemu-jemu oleh ustaz Abdul Hadi menyebabkan jiwa ini begitu bertenaga di pagi hari. Suasana bacaan Al-Quran menyebabkan jiwa ini senatiasa bergetar mengingati kekerdilan diri sebagai hamba Allah. Inilah biah solehah( suasana yang baik ) yang jarang kutemui kini.

Suasana yang bahagia ini amat dirindui oleh graduanmu MATRI yang berada jauh memikul tanggungjawab yang lebih besar. Suasana ini meninggalkan bekas yang mendalam dalam jiwa ini.

Rindu benar suasana itu.


4 comments:

Anonymous said...

Rindu benar laungan itu.

Rindu benar bacaan itu.

Rindu benar suasana itu.

Rindu benar pada kalian!

Hilal Asyraf said...

sedih r..

nangis ni..

hu hu

Anonymous said...

rindu ker????
datang lah lawat kami disini...
kami rindukan kalian di sana....
semoga kita senantiasa dibawah pelukan KASIH SAYANGNYA....

Fawwaz Saleh said...

rindu pulak kat subuh di masjid
bila la boleh istiqamah ni...