
selalu menyediakan waktu untuk membaca , kerana membaca itu sumber hikmah ; menyediakan waktu untuk tertawa , kerana tertawa itu muziknya jiwa ;
<< Mencari ERTI Kehidupan >>
Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?" "Ya! Anda benar." kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?" "Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya." Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil
Fikir-fikirkanlah sahabat-sahabat sekalian. Adakah kita akan ingin terus melakukan MAKSIAT. Semuanya terletak ditangan kita. Adakah kita ingin mengorbankan kebahagiaan hakiki untuk menikmati kebahagiaan sementara. Fikir-fikirkanlah.
“Bangun..bangun…bangun . ”
“ Dalam kiraan 10….1, 2 , 3 …….10.”
Inilah laungan kejutan subuh oleh Ustaz Mahathir, warden atau ayahanda Pelajar MATRI memecahkan keheningan di pagi hari di asrama induk. Suaranya ibarat kejutan elektrik yang menggerakkan pelajar MATRI lantas kami bergegas dan berlari untuk menyiapkan diri untuk solah Subuh . Bagi pelajar yang masih dilamun mimpi, pasti akan dilemaskan dengan siraman air olehnya. Ini bukanlah suatu penyeksaan tetapi adalah Tadrib atau latihan bagi pelajar untuk solah Subuh secara berjemaah. Teringat kata-kata seorang Rabi Yahudi ;
“ Janganlah umat Islam bermimpi untuk mengalahkan Yahudi sehingga bilangan mereka yang solah Subuh berjemaah di masjid menyamai bilangan yang datang untuk solah Jumaat.”
Ketika sampai di musolla dan setelah azan Subuh, kadang-kala terdengar pula laungan.
“ Bangun solah sunat Subuh…. Bangun , pahala lebih baik dari dunia dan seisinya…”
Inilah laungan yang dilontarkan oleh Ustaz Abdul Hadi kepada pelajar . Beliau sering memotivasi kami untuk terus istiqamah dengan amalan ini yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasullullah saw. Amalan yang ringkas namun diganjari dengan pahala yang lebih baik dari dunia dan seisinya. Jika ustaz Hadi tidak hadir pada pagi itu, kadangkala terdengar suara yang diingatkan oleh para pengawas. Walaupun agak penat di pagi hari, namun motivasi yang diberi menggerakkan sebahagian besar pelajar untuk melaksanakan solah sunat Subuh. Secara tidak langsung , menggerakkan pelajar yang masih ‘ dilamun mimpi ’ di Musolla MATRI yang melihat kebanyakan pelajar bangun untuk solah sunat Subuh.
Sementara menunggu jam 6.15 pagi , masa untuk mendirikan Solah Subuh berjemaah, sebahagian pelajar akan mengambil Al-Quran untuk membaca dan menghafaz. Kadangkala, apabila ramai yang membaca Al-Quran seolah-olah kedengaran seperti lebah di sarangnya. Di MATRI, solah subuh didirikan agak sedikit lambat adalah untuk memastikan semua pelajar melaksanakan solah Subuh secara berjemaah di Musolla.
Apabila diiqamahkan oleh muazzin, seringkali solah Subuh diimamkan oleh Ustaz Abdul Hadi. Bacaannya yang sayup-sayup dan daripada hati yang begitu ikhlas, kadangkala men yebabkan jiwa ini runtuh dan mengalir air mata. Kadangkala juga beliau menangis dalam mengimamkan solah subuh. Hatiku ketika itu begitu sayu. Walaupun tidak memahami erti kandungan bacaan, namun mu`jizat Al-Quran sememangnya mampu menggetarkan jiwa manusia.
Setelah selesai menunaikan solah subuh berjemaah, jiwa kami diisi pula oleh mutiara-mutiara tazkirah beliau lebih kurang 10 minit dan membaca surah dalam juzu` Amma. Walaupun sebahagian besar daripada kami ‘ patah tengkuk ’( tidur ) , namun beliau tidak jemu-jemu untuk mencurah siraman iman di jiwa kami. Andaikata , ustaz Abdul Hadi tidak hadir pada pagi itu, pengawas mengambil tempat untuk mengetuai bacaan satu muka surat dalam Al-Quran. Bacaan Al-Quran walaupun ringkas tetapi amat diberi penekanan oleh beliau agar kehidupan harian ini senantiasa dimulakan dengan tuntutan berubudiah kepada Allah.
“Futhur….futhur….”
Kalimah ini bukanlah bermaksud merasa lemah setelah berjuang. Namun laungan Ustaz Abdul Hadi mengingatkan pelajar agar bergegas-gegas ke dewan makan untuk sarapan pagi. Terdapat juga sebahagian pelajar membaca Al-Quran atau Al-Mathurat bersendirian sebelum ke dewan makan.
Suasana subuh di bumi wakafan MATRI begitu indah. Tidak mampu digambarkan dengan tulisan. Hanya hati-hati serta jiwa-jiwa yang hidup mampu menghayati suasana tersirat di pagi Subuh. Walaupun dalam keadaan letih, kita mampu melatih jiwa kita untuk melaksanakan tuntutan Allah. Muka-muka adik-adik yang bersih dan abang-abang yang memberi qudwah di pagi hari, menerbitkan jiwa ini sentiasa aman dan tenteram. Siraman mutiara-mutiara yang tidak jemu-jemu oleh ustaz Abdul Hadi menyebabkan jiwa ini begitu bertenaga di pagi hari. Suasana bacaan Al-Quran menyebabkan jiwa ini senatiasa bergetar mengingati kekerdilan diri sebagai hamba Allah. Inilah biah solehah( suasana yang baik ) yang jarang kutemui kini.
Suasana yang bahagia ini amat dirindui oleh graduanmu MATRI yang berada jauh memikul tanggungjawab yang lebih besar. Suasana ini meninggalkan bekas yang mendalam dalam jiwa ini.
Rindu benar suasana itu.