Monday, September 21, 2009

Hati Sebagai Sasaran Tarbiyyah Islamiyyah



Ingin saya berkongsi dengan saudara sekalian , satu kertas kerja yang telah disiapkan ketika tingkatan 4 hasil permintaan mentor saya kepada semua anak didiknya. Harap saudara sekalian mendapat manfaatnya.

Hakikat keimanan


Hidup manusia mesti tertegak di atas dasar iman yang jelas . Iman mestilah menjadi paksi dan pancaran dalam segala tindak-tanduk . Imanlah yang akan mendesak kepatuhan dan ketaatan yang bulat kepada Allah .Iman para sahabat meliputi keyakinan hati, pengakuan di masjid ,di rumah, dalam keadaan sendirian , di hadapan umum, di waktu siang dan di waktu malam.


Iman yang benar berfungsi dalam semua keadaan hidup manusia .Seluruh sistem hidup mestilah dipandu oleh iman yang betul . Ketaatan dan kepatuhan kepada Allah mestilah berlaku dalam semua suasana hidup manusia . Tidak ada satu perkara pun dalam hidup yang boleh dipisahkan dari dipandu oleh iman . Inilah hakikat Islam. Iman yang benar tidak pernah terpisah dari Islam yang syamil dan kamil. Bukan namanya iman kalau ada pemisahan tertentu dalam aspek-aspek hidup manusia . Iman kepada Allah menuntut supaya mengambil Islam secara syumul dan mesti hidup dengan Islam yang syumul.


Keimanan itu menjadi hati atau jantung kepada Islam. Dalam hal ini , Dr Yusof Al-Qardawi menyebut :


Tunggak pertama yang harus dimiliki mereka(anggota harakah) ialah Iman:

iaitu Iman yang berdasarkan Al-Quran dan As Sunnah , dengan seperangkatan akhlak dan cabang-cabangnya yang berjumlah lebih dari tujuh puluh cabang itu. Iman dengan segala cabang-cabangnya yang telah disusun dalam berpuluh-puluh buku yang sekaligus nenjabarkannya. Jadi Iman itu bukanlah sekadar angan-angan dan hiasan belaka tetapi keyakinan yang terpateri di dalam dada dan dibuktikan dengan amal perbuatan nyata.”


Iman yang cuba dilahirkan melalui Proses Tarbiyyah Islamiyyah ini bukanlah sekadar angan-angan ataupun perhiasan bahkan Iman itu merupakan keyakinan dalam hati dan dibenarkan dengan amal. Ibnu Qayyim dalam menjelaskan mengenai hakikat kesyumulan iman menyebut bahawa :


“ Iman mempunyai unsur lahir dan batin . Zahirnya adalah perkataan lidah dan amal anggota tubuh. Batinnya adalah pembenaran hati. Kepatuhan dan kecintaannya. Tidak ada zahirnya jika tidak disertai batin , sekalipun ada jaminan terhadap darah , harta , dan keturunannya. Batin tidak akan mendapat pahala seelagi tidak ada zahirnya, kecuali jika ada alas an yang masuk aqal seperti tidak mampu , dipaksa , atau takut. Tidak adanya amal secara zahir padahal tidak ada penghalangnya, merupakan bukti kerosakan batin atau kerana di dalamnya tidak ada iman . Kekurangan dalam amal menunjukkan kekurangan iman dan kekuatan amal menunjukkan kekuatan iman . Iman merupakan hati dan inti Islam.”


Iman sebagai dasar atau syarat penerimaan amal .Sebagai mana firman Allah:


“ Dan sesiapa yang mengerjakan amalan-amalan yang salih dari lelaki atau perempuan , sedangkan ia seorang yang beriman , maka mereka akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak akan dikurangi sedikit pun (pahala amalan mereka).”

An Nisaa`:124


Asy Syahi syed Qutb dalam Tafsir Fi Dzilalul Quran dalam menafsir ayat ini menegaskan bahawa :


“ Keimanan itu adalah syarat bagi penerimaan sesuatu amalan dan mana-mana amalan yang tidak diterbit daripada keimanan dan tidak disertai oleh keimanan adalah tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah . Syarat ini memang tabi`i dan logikal kerana keimanan kepada Allah itulah yang menjadikan sesuatu perbuatan yang baik itu terbit dari kefahaman dan niat yang tertentu dan menjadikan perbuatan itu suatu harakat yang tabi`i dan teratur bukannya terbit kerana tujuan untuk memenuhi kehendak keinginan peribadi dan bukannya harakat yang kebetulan yang tidak diatur dengan rapi dan tidak ditegakkan di atas sesuatu asas atau dasar.”


Oleh itu, Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah Ta`ala kerana niat ikhlas menjadi menentu untuk suatu amalan itu diterima.


Hati sebagai wadah pembentukan iman


Biji benih merupakan peringkat terawal dalam proses pertumbuhan pokok. Jika proses yang dilalui oleh biji benih baik maka hasil yang akan dikeluarkan oleh pokok adalah berkualiti. Sebaliknya jika proses yang dilalui adalah kurang baik maka hasil yang dikeluarkan adalah kurang berkualiti. Kehadiran air, suhu yang sesuai dan kehadiran oksigen merupakan aspek penting dalam percambahan biji benih .

Pertumbuhan biji benih akan terbantut jika salah satu daripada faktor-faktor itu tidak hadir.


Begitulah analogi Iman. Iman memerlukan tempat untuk berlakunya peningkatan dan hati merupakan wadah yang dominan dalam pertumbuhan keimanan yang subur.


Kata Ibnu Qayyim: Hati sajalah Iman boleh tumbuh .


Justeru jika baiknya hati maka akan tertumbuh benih Iman , tertumbuhnya pokok-pokok Iman dan ia tertumbuh bunga-bunga keimanan kepada Allah . Manakala hati yang rosak akan menghasilkan iman yang berpenyakit.


Oleh itu , kita ingin didik hati kita dan jiwa kita . Kita ingin ketengahkan hati kita yang selama ini tenggelam dalam arus Tarbiyyah Jahiliyyah supaya ia dapat kembali berfungsi menjadi Masdar Wahid , menjadi Pemancar Utama kepada semua amalan hidup kita . Inilah yang mendorong kita untuk berusaha dengan gigih sekali tanpa mengenal jemu , tanpa mengenal penat untuk menjalankan tarbiyyah ini (Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah) pada individu dan pada jemaah kita untuk kita menyediakan hati-hati supaya menjadi hati-hati yang beriman dalam erti kata yang sebenarnya yang mampu melahirkan kerja-kerja Iman.


Jalan tarbiyyah memerlukan masa yang lama dan sukar tetapi ia melahirkan kesan tabiyyah yang betul dan tepat mengena sasarannya iaitu hati. Tarbiyyah yang akan terkesan dan berkesan kepada hati.`Aqal yang berhubung dengan perkara nyata , tidak mampu untuk sampai dan naik lebih tinggi daripada ketinggian hati yang meyakini perkara-perkara ghaib.Lantaran itu, hati menjadi sasaran tarbiyyah.


Sememangnya Al-Quran dan Hadith menggambarkan bahawa hatilah yang menjadi masdar atau wadah bagi setiap tingkah laku manusia . Perubahan manusia bermula dari perubahan hatinya . Kerosakan manusia kerana rosaknya hatinya . Segala sifat baik atau buruk ditumpukan kepada hati;baik hati, hati dengki keras hati dan lain-lain . Oleh itu , proses tazkiah / pembersihan , mu`alajah / rawatan dan sebagainya mestilah bermula dari hati, jika tidak segala usaha kita akan jadi sia-sia; umpama pokok yang tidak kita perlukan , jika kita hanya membuang ranting-rantingnya maka akan tumbuh tunas –tunas baru yang lebih banyak . Oleh itu, kita mesti mencabut hingga ke akar umbinya.Justeru, hati yang diproses mampu menguasai tingkahlaku manusia. Hati sebagai masdar.

1 comment:

azman said...

Salam Ukhuwwah..
Alhamdulilla.. mmembaca kertas kerja akhi terigat hasil kertas kena ana yang pertama, tajuk yang sama mungkin mentor juga sama..
Tahniah dan alhamdulillah.