Wednesday, June 3, 2009

Jalan Taqwa [ 2 ] :Sibuk Jiwa dengan Taklif


Sentiasalah sibukkan jiwa kita dengan taklif (tanggungjawab Ilahi) ataupun kebaikan, jangan ia sibukkan dengan yang lain. Dengan berbuat demikianlah dapat membersihkan jiwa itu daripada dosa-dosanya. Sibuk melaksanakan perintah Allah, sibuk menjauhkan diri daripada laranganNya. Mula-mula memanglah kita akan merasa susah dan berat untuk melaksanak perintah Allah SWT, tapi lama-lama setelah kita latih dia, didik dia, kita sibukkan dia setiap hari ia akan menjadi serasi dengan taklif. Jangan kita biarkan dia, lepaskan dia mengikut hawa nafsu.


Jiwa ini sekiranya kita tidak sibukkan ia dengan kebaikan, ia akan sibukkan kita dengan kejahatan. Itu adalah Sunnah Allah. Jadi kita dibuli betul-betul, nafsu membuli kita. Ke mana akal kita? Mana hati nurani kita? Kalau kita biarkan hawa nafsu untuk membuli kita. Jika kita begitu maka lemah sangatlah kita ni. Jadi kita nak sibukkan kita dengan kebaikan, perintah Allah, taklif Allah, jika tidak jiwa kita nanti akan disibukkan dengan kejahatan, maksiat dan dosa kepada Allah.


Oleh itu Rasulullah SAW menentukan bagaimana kita nak sibukkan jiwa kita dan keinginan hawa nafsu kita dengan kebaikan. Apa kerja-kerja yang dilakukan untuk menyibukkan jiwa kita itu? Rasulullah SAW bersabda di dalam hadith qudsi:


" وَ مَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ وَ مَا زَالَ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَوَفِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ. "


Begitulah bagaimana Rasulullah SAW tetapkan cara untuk kita tasyghil (sibuk)kan jiwa kita. Pertama kita sibukkan jiwa dengan kerja-kerja yang wajib. Kerja-kerja yang wajib ini tidaklah banyak sangat antaranya solat fardhu lima kali sehari, zakat, silaturrahim, jihad, bercakap benar dan apa sahaja yang diperintah oleh Allah dari yang wajib dan meninggalkan yang haram. Kita kena terlebih dahulu mengetahui semua perintah wajib ini dan seterusnya melaksanakannya. Ketika ini nafsu akan membisikkan pelbagai bisikan kepada kita, jadi kita kena sabar, susah, dalam melatih dan mendidik nafsu. Sehingga setelah lama diproses, nanti apabila kita tidak boleh laksana yang fardhu dan tak boleh tinggalkan yang haram, hati akan merasa kekok, rimas dsb. Realiti ini berbeza dengan yang wujud dalam masyarakat.


Kemudian barulah kita tingkatkannya dengan melaksanakan yang sunat. Dengan itu kita tidak merasa ganjil apabila seseorang itu melaksana yang sunat ini, tidaklah ia ekstrim dan sebagainya. Misalnya solat sunat, hijab dsb. Ini adalah hukum Allah SWT, sekiranya kita sifatkan ekstrim bererti mencabar hukum Allah SWT. Jadi kena tingkatkan kepada amalan sunat dari aspek zikir, ibadah sunat, saksikan jenazah, dsb. Segala yang dilaksanakan di sini, itulah mujahadah.


Perlu dijelas di sini bahawa di sana terdapat segolongan dalam masyarakat yang bersungguh-sungguh bermujahadah dalam perkara yang sunat, dan dia tinggalkan yang wajib. Yang haram tidak ditinggalkan, begitu juga yang makruh. Jadi apa maknanya? Ini adalah satu mujahadah yang tak sempurna, tidak mengikut sunnahnya. Jadi kita kena tentukan supaya mujahadah kita mengikut sunnahnya dan jalannya.


Manakala golongan yang lain lupa dan tinggal sama sekali mujahadah ini. Tidak pernah melawan nafsunya. Membiarkannya lepas bebas dikuasai oleh nafsu, hilang fungsi akal dan hati nuraninya. Serah bulat-bulat kepada nafsu untuk mengatur hidupnya. Tapi selalunya kita tidak sedar yang kita dikuasai hawa nafsu. Di sinilah kita kena bersifat cerdik, tidak dikuasai dan tertipu oleh hawa nafsu, sebaliknya kita dikuasai oleh hati nurani, dikuasai oleh iman, dikuasai oleh fikiran yang waras, fikiran yang dilatih dengan ilmu Allah, bukan yang lain. Jadi barulah sempurna akal kita, akal yang dipandu oleh wahyu, bukan dipandu oleh nafsu.


UDMZ/Feb86



No comments: