Wednesday, June 3, 2009

Jalan Taqwa [ 1 ] :Tabiat Jiwa dan Tabiat Taklif



Tabiat jiwa sangat suka kepada rehat, malas, sesuatu yang bernafsu, yang seronok, yang senang. Tabiat jiwa yang sebegini selalunya berlawanan dengan kehendak taklif (tanggungjawab). Tanggungjawab perlu kepada amal, kena laksanakan, kena ada usaha yang bersungguh-sungguh, ada kepayahan, kesusahan, serius dalam tindakan dan tidak boleh sambil lewa. Ia kena ada penyertaan daripada jiwa misalnya apabila kita solah, akal kita mesti bersama dengan perbuatan kita begitu juga hati kita mesti hadir bersama-sama. Jadi semuanya bersatu tenaga untuk laksanakan perintah Allah SWT.


Keadaan yang sebegini memang berat kepada jiwa yang tidak diproses. Tetapi apabila jiwa itu diproses sehingga ia merasakan bahawa taklif Ilahi itu sesuatu yang nikmat, seronok dilaksanakan, sampai ke peringkat sesuai dengan jiwanya. Tapi sekiranya taklif Rabbani ini tidak sampai ke peringkat sesuai dengan jiwanya memang dia akan berasa sukar dan berat.


Dalam hal ini kita perhatilah bagaimana Rasulullah SAW memproses para sahabat baginda. Kita mengenal bagaimana para sahabat Rasulullah SAW semasa jahiliyah, mereka suka berseronok, berfoya-foya, walaupun ada dalam bidang tertentu mereka serius tapi serius kepada jahiliyah. Manakala apabila mereka diproses, ditanam iman ke dalam-jiwa-jiwa mereka sampai peringkat mereka beriman kepada Allah SWT, kita perhati pula bagaimana mereka dengan hukum-hukum Allah dan tanggungjawab-tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah SWT, mereka bersungguh-sungguh bertindak, dan merasa lazat dan seronok.


Oleh itu perkara yang haq ini sekiranya tidak melalui proses manusia akan nampak ia sebagai ganjil, kadang-kadang ke peringkat terlalu gila ,asyik, ekstrim dsb. Tapi dalam aspek jahiliyah mereka tidak pula merasa ia begitu asyik, terlalu gila, pelik dsb. Jika kita menjalani proses yang sebenar mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah, kita akan merasainya sebagai tabiat kepada jiwa, dan jiwa itu akan patuh. Sebab itu kita kena banyak bermujahadah. (Rumus)


Dengan itu Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa syurga Allah SWT di sebelah pihak manakala nafsu berada di pihak yang lain. Syurga Allah berkehendak kepada bekerja, mesti berjuang, berkorban, bersusah, berusaha melaksanakan perintah Allah SWT dengan serius. Hakikat ini tentu berlawanan dengan nafsu yang suka kepada rehat, senang, seronok, syahwat dsb. Sabda Rasulullah SAW:


"حُفَّتْ الجَنَّةُ بِالمَكَارِهِ وَ حُفَتْ الناَرُ بِالشَهَوَتِ


Jalan ke syurga perlu kepada jihad, kepayahan dan kesukaran. Jadi perkara yang sebegini berkehendak kepada mujahadah barulah boleh sampai ke syurga. Manakala jalan ke neraka dipenuhi dengan syahwat, seronok, leka, rehat, sedar-sedar dah terperangkap dengan neraka.


Oleh itu mesti berusaha bersungguh-sungguh, mencurahkan tenaga untuk mengatasi keinginan nafsu sehingga ia insijam (sesuai) dengan taklif (tanggungjawab yang Allah tetapkan). Ia merasa seronok dengan kewajipan yang ditentukan Allah. Tidak anehlah jika kita jalankan proses sehingga menjadi begitu, tapi kita kenalah berusaha. Tidak bolehlah kita membiarkan hawa nafsu mengikut saja tiba-tiba ia nak merasa seronok dengan taklif Allah SWT, mustahil! Kita kena sentiasa ajak nafsu, latih dia, didik dia, asuh dia, sentiasa tamrin dia, pujuk rayu dia, sebab ia sukar. Jelas dalam hadith Rasulullah SAW:


لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُوْنُ هَوَاهُ تَبِعاً لِمَا جِئْتُ بِهِ”


Jadi jiwa kena diproses hingga ia mengikut keinginan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW hanya bawa Islam, tidak yang lain. Jadi selagi jiwa tidak ingin kepada Islam maka tidak sempurna imannya. Dari sebesar-besarnya hingga sekecil-kecilnya. Dari yang wajib hingga yang sunatnya iaitu yang diperintahkan. Manakala yang dilarang iaitu dari yang haram hingga yang makruhnya. Barulah sempurna iman. Perkara ini jika kita tidak latih, tidak train, ia tidak akan jadi, kecualilah dengan anugerah Allah. Kena lalui proses mencari hidayah Allah SWT dan mendekati sumber-sumber Allah. Firman Allah dalam surah al-Nazi’at ayat 40 & 41:


وَ أَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَ نَهَى النَفْسَ عَنِ الهَوَى * فَإِنَّ الجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى *


UDMZ/ Feb86




No comments: