Wednesday, June 3, 2009

Jalan Taqwa [ 3 ] : Zikrullah sebagai Ruh dalam Melaksanakan Taklif



Hendaklah zikr (mengingati) Allah itu sentiasa menjadi roh dalam melaksanakan tanggungjawab. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini mesti ingat Allah, zikrullah dan tazakkur Allah. Apa yang kita buat hendaklah fillah dan lillah. Kena tentukan amalan kita itu mengikut syara’ dan ikhlas kerana Allah SWT. Jika tiada dua syarat ini maka tiada makna amalan kita walaupun kita menggadaikan nyawa kita. Jadi ingat Allah, ikhlas kerana Allah, dan juga dalam rangka mentatbiqkan (mempraktikkan) syariatNya dan peraturanNya, itulah roh dalam setiap tindakan. Jika tiada roh, tiada makna tindakan kita. Tindakan itu tindakan mati walau kita berjuang bermati-matian. Jadi pastikan setiap tindakan kita itu bersama dengan zikrullah.


" وَ أَقِمِ الصَلَوةَ لِذِكْرِيْ "


" وَ لِتُكَبِّرُوْا اللهَ عَلَى مَا هَدَيكُمْ "


Besarkanlah Allah SWT kerana telah kurniakan kepada kita hidayah dan tunjukkan kita jalan yang betul. Ia bukanlah sekadar melalui kata-kata kita, tapi hakikat Allah besar dan agung nampak dalam perjalanan hidup kita, bukan yang lain. Perkara ini tidak semudah disebut, ia perlu dilatih bersama. Maka ketika ini barulah hidup kita menjadi puas, hidup sebagai hamba Allah SWT, tidak menjadi hamba kepada yang lain. Kita ruku’ dan sujud di dalam solah sebagai hamba kepada Allah SWT bukan kepada yang lain. Kita pakai dan makan dengan pakaian dan makanan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Begitu juga dalam pergaulan kita malah dalam semua kehidupan kita.


Amal kerana Allah ialah perbuatan yang bersama dengannya kita ingat Allah. Kita buat bukan kerana lain, hanya kerana Allah, hanya ingat kepada Allah. Tiada matlamat lain yang boleh mengganggu di tengah jalan sebab kita sentiasa berhubung dengan Allah. Perkara ini sekiranya kita tidak latih ia akan terlatah juga. Nafsu sentiasa bisikkan matlamat yang lain selain Allah. Jika kita campurkannya rosaklah amalan kita. Jadi hendaklah amal kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.


Dari sini nampak syakhsiyah kita yang ikhlas kerana Allah SWT itu. Kerana ia telah menjadi satu tabiat dan malakah (kebiasaan), bukan berpura-pura atau menunjuk-nunjuk.


Jadi dengan kita meneliti dan merealisasikan jalan yang dikemukakan ini, kita telah sampai ke satu tahap di mana tiada jalan bagi syaitan untuk menggodai kita dengan izin Allah. Daripada Ibn ‘Abbas, sabda Rasulullah SAW:

" الشَيْطَنُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمِ فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَنَسَ وَ إِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ "


Inilah hakikat syaitan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Hakikat ini memang jelas dalam realiti hidup kita sendiri. Bisikan syitan memang kuat, sekiranya kita tidak memahami hakikat zikir Allah SWT maka kita akan dikuasai dan dipengaruhi oleh syaitan. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 201:


" إِنَّ الَّذِيْنَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفَةٌ مِنَ الشَيْطَانِ تَذَكَّرُوْا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ "


Inilah hakikat orang bertaqwa yang sentiasa ingat kepada Allah. Dia sedar apabila ia digoda oleh syaitan. Orang bertaqwa sentiasa dalam keadaan sedar. Untuk mendapat ini perlu bekerja kuat, kena tahu segala yang berkaitan dengan hukum Allah SWT, kena faham amanah Islam yang sebenarnya.


Untuk mendapat gambaran yang betul, mari kita melihat contoh dari generasi sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW. Ketika suatu peristiwa pembahagian harta rampasan perang di kalangan sahabat Muhajirin dan Ansar. Ketika ini syitan memainkan peranan membisik kepada sahabat bahawa pembahagian harta itu tidak adil bagi sahabat Ansar, melebihkan kaum Muhajirin berbanding mereka dsb. Perkara ini menimbulkan suasana yang genting di kalangan para sahabat Rasulullah SAW sehingga berkehendak kepada penyelesaian Rasulullah SAW. Rasulullah pun bertanya kepada mereka:


“Wahai Ansar, kamu tidak redhakah Rasulullah balik bersama-sama kamu, mereka yang lain balik bersama harta tapi kamu balik bersama-sama Rasulullah SAW?” Setelah Rasulullah sedarkan mereka maka mereka terus menangis! Menangis selepas mereka tersedar. Jadi inilah dia orang-orang yang bertaqwa.


UDMZ/Feb86


2 comments:

Syed Ahmad Fathi said...

Besarkanlah Allah SWT kerana telah kurniakan kepada kita hidayah dan tunjukkan kita jalan yang betul. -Betul tu nikmat hidayah sangat besar dan bukan semua orang dipilih ALLAH untuk diberi hidayah.

jaxxon said...

Greetings -

I am honored that you chose to use my photo of the water drop for a Zikr. :) However, my photo is protected under the Creative Commons license. As copyright holder, I am entitled to attribution and a link back to the source of the photo: http://flickr.com/photos/jaxxon

Thank you.