Friday, October 23, 2009

Beberapa Pesanan IHAB




As-Syahid Hasan Al-Banna mewasiatkan kepada generasi pewaris risalah nubuwwah yang didokong oleh Ikhwan Muslimin

"Wahai manusia setelah kehidupan yang pendek ini kamu akan menjalani kehidupan yang abadi. Bila kamu memahami rahsia tugasmu dalam kehidupan ini dan mengikhlaskan amal untuk Tuhanmu, ada kenikmatan yang menantimu"

"Aku tidak menulis buku. Aku menulis dan melahirkan rijal"

"Kami mengajak manusia semua pada satu kefahaman begitu jelas. Fikrah yang telah mereka kenal. Satu fikrah yang telah disaksikan sejarah menyejahterakan manusia"

"Setiap kali orang menerima fikrah Ikhwan dan begabung dengannya, saat itu pula, saya merasa bertanggungjawab mengenai sejauhmana mereka mendapatkan faedah"

"Kesedaran aqal, kehalusan perasaan, dan hidupnya hati dijadikan Islam sebagai tunjang kesalehan individu"

"Saya berjanji akan menjadi orang yang istiqamah yang menunaikan ibadah serta menjauhi segala kemungkaran. Menghiasi diri dengan akhlak mulia dan meninggalkan akhlak-akhlak buruk. Memilih dan membiasakan diri dengan kebiasaan-kebiasaan Islami semampu saya"

"Kebahagiaan kita tidak terletak pada harta, tidak pada penampilan diri, tidak juga pada gemerlap perhiasan dan keindahan dunia. Ukuran kebahagiaan terkait erat pada hati dan ruh manusia yang mendamba ridha Allah".

Thursday, October 22, 2009

Akibat Maksiat


Maksiat lawannya taat. Kedua-duanya, hanya Allah swt yang tahu. Maksiat ada kesannya, taat pun ada kesannya tersendiri. Ketaatan menjadi suatu yang manis bagi si Mukmin, manakala maksiat adalah suatu kelazatan bagi mereka yang engkar. Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan insan di dunia dan akhirat. Mukmin, sentiasa berhati-hati dalam kehidupan hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan. Walaupun hanya Allah swt yang tahu semua tindakan ketaatan dan juga kemaksiatan insan, kesan dan pengaruhnya dapat dilihat semasa hidup di dunia.

1. Tidak Mendapatkan Ilmu

Ilmu adalah sinar yang diletakkan Allah swt ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut. Pernah Imam Malik menasihatkan Imam Syafie yang belajar dengarnya, "Saya melihat Allah swt telah meletakkan sinar dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat." Imam Syafie juga pernah mengeluh, "Saya mengeluh kepada Waki', hafalanku jelek; lantas dia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat." Sambung Waki', "Ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah, dan Allah swt tidak berikan kepada pelaku maksiat."

2. Tidak Mendapatkan Rezeki

Dalam Musnad Imam Ahmad, "Sesungguhnya seorang hamba tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang diperbuat." Sememangnya jelas bahawa taqwa kepada Allah swt itu mendapatkan rezeki, sedangkan meninggalkan taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan.

3. Kerisauan dan Kesepian di Hati

Antara hati seorang insan pelaku maksiat dengan Allah swt, tidak ada keseimbangan dan keterkaitan yang dirasai sebagai kenikmatan, malahan yang terbit dari hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya kenikmatan dunia seisinya diberikan kepadanya, tidak akan mampu mengimbangi keresahan tersebut.

Tidak ada yang lebih pahit dalam hati insan daripada kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang lain, lebih-lebih lagi dari orang-orang yang sebelumnya baik dengannya. Bilamana perasaan keterasingan itu menjadi kuat, maka dia akan menjauhkan dirinya dari lingkungan orang-orang tadi. Akhirnya, jika hati yang terasa terasing itu banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan, dan jauh dari kelompok yang dekat dengan Allah swt. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan itu akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa terasing dari keluarganya serta anak-anaknya, dan ini akan terus menambahkan kerisauan dan tertekan dalam dirinya.

4. Banyak mendapat kesulitan

Orang yang tidak bertaqwa akan mendapat kesukaran dalam berbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan jalan penyelesaian yang serba sulit.

5. Kegelapan dalam hatinya

Kegelapan dalam hatinya akan sungguh-sungguh ia rasakan seperti gelap pekatnya malam. Bila ia diberi petunjuk, maka kegelapan maksiatnya itu masuk menutupi hatinya. Berkata Abdullah bin Abbas, "Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya.

Adapun pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan rasa benci kepadanya di hati ramai orang."

6. Melemahkan hati dan badan

Orang Mukmin itu kekuatannya terletak pada hati. Bilamana hatinya kuat, badannya pun menjadi kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya kuat, namun hatinya paling lemah. Bayangkan, kekuatan badan orang-orang Persia dan Romawi dapat dihancurkan oleh orang-orang Mukmin dengan kekuatan hati yang kuat imannya kepada Allah swt.

7. Kehilangan ketaatan

Tidak ada hukuman bagi suatu dosa, kecuali hukuman itu adalah terhalangnya seseorang dari ketaatan terhadap Allah swt. Juga akan terputuslah jalan-jalan kebaikan yang lainnya, sedangkan ketaatan itu lebih baik daripada dunia seisinya.

8. Mengurangi umur dan mengikis berkah

Sebahagian ulama mengatakan, bahawa kurangnya umur orang yang suka melakukan maksiat ialah kerana hilangnya berkah umurnya. Hidup ini sebenarnya adalah kehidupan hati. Umur manusia selama waktu-waktu hidupnya sentiasa bersama Allah swt, itulah yang merupakan waktu-waktu umurnya. Bila hidupnya berpaling dari Allah swt dan sibuk dalam kemaksiatan, akan hilanglah hari-hari hidupnya yang hakiki. Sehingga pada akhirnya orang itu akan berkata:

"Aduhai, sekiranya dulu saya berbuat untuk hidupku sekarang ini."
(Al-Fajr:24).

[Rujukan: Ibn Qoyyim, "Terapi Penyakit Hati"]

Monday, September 21, 2009

Hati Sebagai Sasaran Tarbiyyah Islamiyyah ( 2 )



Jalan tarbiyyah inilah yang telah diteroka ioleh da`ie ulung, Nabi Muhammad s.a.w. Baginda telah mengasaskan madrasah yang dibimbing oleh wahyu Allah s.w.t. Madrasah yang berasaskan aqidah .`Aqidah melahirkan ikatan yang paling tinggi,sekaligus terputuslah semua ikatan-ikatan lain seperti ikatan watan , ikatan warna kulit, ikatan bangsa dan ikatan bahasa . Lahir daripada madrasah baginda kehidupan berukhuwwah semata-mata kerana Allah s.w.t. Juga kehidupan berkasih sayang bermasdarkan iman yang mendalam dalam lubuk hati yang putih bersih.Contohnya yang disebut oleh ahli sejarah ialah kisah persaudaraan tentera-tentera Islam.


Setelah tamat perang Yarmuk, seorang tentera Islam berjalan di tengah-tengah mayat para syuhada yamg bergelimpangan untuk memastikan sama ada hidup atau mati. Abu Jahm bin Huzaifah ra meriwayatkan :



“ Semasa Peperangan Yarmuk bermula aku telah pergi untuk mencari saudara sepupuku yang ketika itu berada di bahagian hadapan di dalam pentempuran itu Aku juga telah membawa sedikit air bersamaku untuknya . Aku dapati bahawa beliau luka parah di dalm pentempuran hebat itu. Aku cuba menghampirinya untuk memberi pertolongan dengan sedikit air yang ada padaku itu. Dengan tiba-tiba aku terdengar rintihan seseorang tentera yang luka parah di sisinya. Apabila sepupuku memandang keadaan demikian lalu ia memalingkan mukanya dan mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air itu dan memberikan kepada askar itu. Aku pun pergilah kepada askar itu dengan membawa air bersama-samaku. Aku dapati dia adalah Hisyam bin Abilah . Sebelum sempat aku sampai di sisinya , terdengar pula teriakan dari seorang yang tebaring tidak jauh dari tempat dia berada itu , Hisyam juga mengisyaratkan kepadaku supaya membawa air kepada orang itu. Akhir sekali ,sebelum sempat aku menghampirinya dia telah menghembuskan nafasnya , Kemudian aku berkejar kembali ke tempat Hisyam, juga didapati beliau sudah meninggal dunia . Ketika itu juga, dengan cepatnya aku pergi ke tempat saudara sepupuku berada , tetapi dia juga telah mengikuti kedua-dua mereka itu.”


Inilah proses yang dilakukan oleh Rasullullah saw ke dalam hati-hati mereka , sehingga mereka sentiasa dapat bergerak , berkembang ,menumbuhkan bunga-bunga ,melapisinya dengan dedaunan nurani, perasaan serta tumbuh di dalamnya kreativiti dan kemahuan yang tinggi. Peribadi-peribadi yang luar biasa yang telah menundukkan alam jahiliyyah kepada kebenaran Islam, pengorbanan yang tidak dijangkiti sifat tamak dan bakhil , kecerdikan dan kegigihan yang tidak diresapi sebarang warna tipu daya. Oleh itu , jika kita merasai tidak sedap hati terhadap sahabat, maka `aqidah kita hendaklah diproses lagi sehingga lahir sifat mengutamakan sahabat dan seumpamanya . Kita tidak mahu dan tidak rela dengan keIslaman di kulit luar , tetapi hakikatnya hipokrasi. Kita mampu berdakap-dakap dan bertangisan di luar tetapi didalamnya kosong.


Sebenarnya Rasulullah saw bermula dgn menanam keimanan yg benar di dalam hati para sahabat dan ini merupakan manhaj Tarbiyyah al Quran (Manhaj Rabbani) . Sebab itu kita melihat 13 tahun pertama, ayat-ayat al Quran lebih tertumpu kepada keimanan; keimanan kepada Allah, hari Akhirat, Alam Kubur, Kebangkitan Semula.Cuba lihat juzuk ke 30, itulah contoh ayat-ayat awal. Rasulullah saw memulakan dgn tarbiyyah Imaniyyah yg menjadikan hati sebagai sasaran dan itulah sebenarnya kekuatan yang menggerakkan sahabat awwalun; kekuatan iman dengan segala keajaibannya. Inilah yang menjadi rahsia kejayaan ummat pertama. Inilah rahsianya..keyakinan kepada janji- janji dan pertolongan Allah, keyakinan kepada syurga dengan segala kenikmatannya sehinggakan mereka terbau syurga, keyakinan bahawa kekuatan dan kemenangan adalah dari Allah . Inilah rahsia yg menjadikan mereka manusia luar biasa iman yang melahirkan Ukhuwah dan kekuatan, kesatuan dan kasih sayang, kegigihan dan kesabaran, jihad dan pengorbanan, keteguhan jiwa dan kejelasan matlamat.


Sebagai contohnya, telah disebut di dalam sirah bahawa Mus’ab bin ‘Umair adalah anak tunggal kepada ibunya yang mempunyai kekayaan dan kedudukan tinggi.Beliau adalah seorang remaja Quraisy terkemuka, seorang yang tampan menjadi bintang di tempat-tempat pertemuan. Setiap anak gadis berangan-angan hendak menjadi isteri atau sebagai teman hidup beliau kerana ketampanan dan kekayaannya . Minyak wanginya tidak pernah diguna oleh orang lain. Mungkin tidak ada seorang pun antara anak-anak muda Mekah yang beruntung dimanjakan oleh kedua-dua orang tuanya sedemikian rupa.Beliau dikenali sebagai `The Charming of Mecca`.Setelah Mus’ab memeluk Islam, beliau tinggalkan kekayaanya.Pada suatu hari ia tampil di hadapan beberapa orang muslim yang sedang duduk disekeliling Rasullullah saw. Demi memandang Mus`ab, mereka menundukkan kepala dan memejamkan mata, sementara beberapa orang matanya basah kerana duka .Mereka melihat Mus`ab memakai jubah usang yang bertampal-tampal, padahal belum lagi hilang dari ingatan mereka pakaian Mus`ab sebelum masuk Islam tidak ubah bagaikan kembang di taman, berwarna-warni dan menghamburkan bau yang wangi.Demikian Mus`ab meninggalkan kemewahan dan kesenangan yang dialaminya sebelum itu dan memilih hidup yang miskin dan sengsara.Tetapi jiwanya yang telah dihiasi dengan `aqidah yang suci dan cemerlang berkat Nur Ilahi telah merubah dirinya menjadi dia manusia yang dihormati, penuh wibawa dan disegani.


Inilah petunjuk dan cahaya Rabbani yang diberikan oleh Baginda kepada para sahabat sehingga memancarnya cahaya yang bersinar terang setelah kegelapan menguasai kehidupan. Lahirnya di bawah Madrasah Rasullullah saw peribadi-peribadi unggul iaitu keperibadian Rabbani yang sebelum di sirami cahaya kebenaran Islam adalah kehidupan yang hidup dalam kegelapan Jahiliyyah , yang menguburkan anak-anak perempuan hidup-hidup ,minum arak dan berjudi.


Sabda Rasulullah s.a.w :(bermaksud)

“Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging , apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati.”


Berpandukan hadis ini ,jelaslah kepada kita bahawa dalam badan kita ini ada unsur yang penting iaitu Hati. Hati ini mempunyai peranan yang besar ,satu tugas yang besar.Hati kita berfungsi sebagai Masdar Wahid , sebagai Pemancar Utama dalam semua tindak-tanduk kita ,dalam semua kerja-kerja kita .Tidak lahir tindak kerja Islam , lahir tindak kerja Jahiliyyah .


Cuba kita lihat satelite. Bagaimana ia bekerja. Satelite itu tugasnya ialah menerima gelombang di angkasa dan menukarkannya kepada bentuk suara ataupun gambar yang kita dapat dengan melalui corong-corong radio ataupun kita dapat lihat melalui TV di rumah. Kerja-kerja yang dilakukan oleh sebuah satelite , kalau kita perhati adalah menggambarkan seolah-olah terdapat persamaan yang rapat dengan kerja yang dilakukan oleh hati kita . Hati kita menerima Tarbiyyah Islam dan Islam itu hidup subur dalam hati kita hingga melahirkan satu keyakinan yang mendalam dalam jiwa kita yang mana dari keyakinan tadi ia akan keluar dalam bentuk tindakan , dalam bentuk amalan zahir , dalam bentuk praktik hidup. Itu yang kita katakan hati sebagai sebagai Masdar atau Pemancar Utama yang melahirkan semua tindakan kita . Justeru , hati menjadi sasaran Tarbiyyah Islamiyyah.


Wallahu`alam

Hati Sebagai Sasaran Tarbiyyah Islamiyyah



Ingin saya berkongsi dengan saudara sekalian , satu kertas kerja yang telah disiapkan ketika tingkatan 4 hasil permintaan mentor saya kepada semua anak didiknya. Harap saudara sekalian mendapat manfaatnya.

Hakikat keimanan


Hidup manusia mesti tertegak di atas dasar iman yang jelas . Iman mestilah menjadi paksi dan pancaran dalam segala tindak-tanduk . Imanlah yang akan mendesak kepatuhan dan ketaatan yang bulat kepada Allah .Iman para sahabat meliputi keyakinan hati, pengakuan di masjid ,di rumah, dalam keadaan sendirian , di hadapan umum, di waktu siang dan di waktu malam.


Iman yang benar berfungsi dalam semua keadaan hidup manusia .Seluruh sistem hidup mestilah dipandu oleh iman yang betul . Ketaatan dan kepatuhan kepada Allah mestilah berlaku dalam semua suasana hidup manusia . Tidak ada satu perkara pun dalam hidup yang boleh dipisahkan dari dipandu oleh iman . Inilah hakikat Islam. Iman yang benar tidak pernah terpisah dari Islam yang syamil dan kamil. Bukan namanya iman kalau ada pemisahan tertentu dalam aspek-aspek hidup manusia . Iman kepada Allah menuntut supaya mengambil Islam secara syumul dan mesti hidup dengan Islam yang syumul.


Keimanan itu menjadi hati atau jantung kepada Islam. Dalam hal ini , Dr Yusof Al-Qardawi menyebut :


Tunggak pertama yang harus dimiliki mereka(anggota harakah) ialah Iman:

iaitu Iman yang berdasarkan Al-Quran dan As Sunnah , dengan seperangkatan akhlak dan cabang-cabangnya yang berjumlah lebih dari tujuh puluh cabang itu. Iman dengan segala cabang-cabangnya yang telah disusun dalam berpuluh-puluh buku yang sekaligus nenjabarkannya. Jadi Iman itu bukanlah sekadar angan-angan dan hiasan belaka tetapi keyakinan yang terpateri di dalam dada dan dibuktikan dengan amal perbuatan nyata.”


Iman yang cuba dilahirkan melalui Proses Tarbiyyah Islamiyyah ini bukanlah sekadar angan-angan ataupun perhiasan bahkan Iman itu merupakan keyakinan dalam hati dan dibenarkan dengan amal. Ibnu Qayyim dalam menjelaskan mengenai hakikat kesyumulan iman menyebut bahawa :


“ Iman mempunyai unsur lahir dan batin . Zahirnya adalah perkataan lidah dan amal anggota tubuh. Batinnya adalah pembenaran hati. Kepatuhan dan kecintaannya. Tidak ada zahirnya jika tidak disertai batin , sekalipun ada jaminan terhadap darah , harta , dan keturunannya. Batin tidak akan mendapat pahala seelagi tidak ada zahirnya, kecuali jika ada alas an yang masuk aqal seperti tidak mampu , dipaksa , atau takut. Tidak adanya amal secara zahir padahal tidak ada penghalangnya, merupakan bukti kerosakan batin atau kerana di dalamnya tidak ada iman . Kekurangan dalam amal menunjukkan kekurangan iman dan kekuatan amal menunjukkan kekuatan iman . Iman merupakan hati dan inti Islam.”


Iman sebagai dasar atau syarat penerimaan amal .Sebagai mana firman Allah:


“ Dan sesiapa yang mengerjakan amalan-amalan yang salih dari lelaki atau perempuan , sedangkan ia seorang yang beriman , maka mereka akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak akan dikurangi sedikit pun (pahala amalan mereka).”

An Nisaa`:124


Asy Syahi syed Qutb dalam Tafsir Fi Dzilalul Quran dalam menafsir ayat ini menegaskan bahawa :


“ Keimanan itu adalah syarat bagi penerimaan sesuatu amalan dan mana-mana amalan yang tidak diterbit daripada keimanan dan tidak disertai oleh keimanan adalah tidak mempunyai sebarang nilai di sisi Allah . Syarat ini memang tabi`i dan logikal kerana keimanan kepada Allah itulah yang menjadikan sesuatu perbuatan yang baik itu terbit dari kefahaman dan niat yang tertentu dan menjadikan perbuatan itu suatu harakat yang tabi`i dan teratur bukannya terbit kerana tujuan untuk memenuhi kehendak keinginan peribadi dan bukannya harakat yang kebetulan yang tidak diatur dengan rapi dan tidak ditegakkan di atas sesuatu asas atau dasar.”


Oleh itu, Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah Ta`ala kerana niat ikhlas menjadi menentu untuk suatu amalan itu diterima.


Hati sebagai wadah pembentukan iman


Biji benih merupakan peringkat terawal dalam proses pertumbuhan pokok. Jika proses yang dilalui oleh biji benih baik maka hasil yang akan dikeluarkan oleh pokok adalah berkualiti. Sebaliknya jika proses yang dilalui adalah kurang baik maka hasil yang dikeluarkan adalah kurang berkualiti. Kehadiran air, suhu yang sesuai dan kehadiran oksigen merupakan aspek penting dalam percambahan biji benih .

Pertumbuhan biji benih akan terbantut jika salah satu daripada faktor-faktor itu tidak hadir.


Begitulah analogi Iman. Iman memerlukan tempat untuk berlakunya peningkatan dan hati merupakan wadah yang dominan dalam pertumbuhan keimanan yang subur.


Kata Ibnu Qayyim: Hati sajalah Iman boleh tumbuh .


Justeru jika baiknya hati maka akan tertumbuh benih Iman , tertumbuhnya pokok-pokok Iman dan ia tertumbuh bunga-bunga keimanan kepada Allah . Manakala hati yang rosak akan menghasilkan iman yang berpenyakit.


Oleh itu , kita ingin didik hati kita dan jiwa kita . Kita ingin ketengahkan hati kita yang selama ini tenggelam dalam arus Tarbiyyah Jahiliyyah supaya ia dapat kembali berfungsi menjadi Masdar Wahid , menjadi Pemancar Utama kepada semua amalan hidup kita . Inilah yang mendorong kita untuk berusaha dengan gigih sekali tanpa mengenal jemu , tanpa mengenal penat untuk menjalankan tarbiyyah ini (Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah) pada individu dan pada jemaah kita untuk kita menyediakan hati-hati supaya menjadi hati-hati yang beriman dalam erti kata yang sebenarnya yang mampu melahirkan kerja-kerja Iman.


Jalan tarbiyyah memerlukan masa yang lama dan sukar tetapi ia melahirkan kesan tabiyyah yang betul dan tepat mengena sasarannya iaitu hati. Tarbiyyah yang akan terkesan dan berkesan kepada hati.`Aqal yang berhubung dengan perkara nyata , tidak mampu untuk sampai dan naik lebih tinggi daripada ketinggian hati yang meyakini perkara-perkara ghaib.Lantaran itu, hati menjadi sasaran tarbiyyah.


Sememangnya Al-Quran dan Hadith menggambarkan bahawa hatilah yang menjadi masdar atau wadah bagi setiap tingkah laku manusia . Perubahan manusia bermula dari perubahan hatinya . Kerosakan manusia kerana rosaknya hatinya . Segala sifat baik atau buruk ditumpukan kepada hati;baik hati, hati dengki keras hati dan lain-lain . Oleh itu , proses tazkiah / pembersihan , mu`alajah / rawatan dan sebagainya mestilah bermula dari hati, jika tidak segala usaha kita akan jadi sia-sia; umpama pokok yang tidak kita perlukan , jika kita hanya membuang ranting-rantingnya maka akan tumbuh tunas –tunas baru yang lebih banyak . Oleh itu, kita mesti mencabut hingga ke akar umbinya.Justeru, hati yang diproses mampu menguasai tingkahlaku manusia. Hati sebagai masdar.

Saturday, September 12, 2009

Selamat Datang adik-adik ke Irbid , Jordan


Titipan Buat Kalian di Arena Baru

Di tempat saya kini , Irbid, Jordan menerima kedatangan adik-adik baru yang mendaftarkan diri di Universiti Yarmouk dan Jordan University Science and Tecnology(JUST) samada dalam bidang perubatan, dentistry mahupun Syariah. Justeru, ingin ana kongsi dengan pembaca khususnya adik-adik yang baru datang ke Irbid sebuah artikel hasil tulisan senior yang banyak mendidik ana di MATRI.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tulisan saya khusus buat adik-adik yang baru menjejak kaki ke menara gading dan alam universiti.Semoga bermanfaat.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Buat adik-adik dan teman-teman yang dihormati sekalian.


Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah kita mera’fatkan setinggi syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya dapat lagi kita bersua dalam titipan yang seberapa ringkas ini.

Marilah keperbaharu NIAT kita dalam beramal untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Itulah tujuan hakikat kehidupan kita dalam alam dunia yang sementara ini.


Ucapan tahniah untuk semua yang kini melanjutkan pelajaran ke pelbagai tempat dan pelbagai bidang. Semoga perjuangan menuntut ini memberi pengalaman yang berharga kepada antum semua dalam rangka untuk membina KEKUATAN ummah.Sedarilah posisi dan kedudukan antum dalam bidang keilmuan amat penting dalam menjana dan memperkasakan kekuatan Ummat Islam. Usahalah untuk menjadi PAKAR dalam bidang yang diceburi. Lakukan persiapan-persiapan yang mantap, tersusun dan kemas untuk menjadikan diri kita ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Islam.


Teringat ana kata-kata seorang Tokoh Mujahid Islam Dr Abdullah Azzam dalam sebuah bukunya :


“Mereka yang memasang cita-cita yang tinggi ( untuk melihat kemenangan Islam) tanpa membuat apa-apa persediaan adalah merupakan mereka yang berjiwa KECIL.”


Ungkapan ini mudah dan ringkas namun mempunyai maksud yang tersirat dan mendalam. Persoalan di sini apakah persediaan yang kita perlukan?

Dewasa ini kita memerlukan pemuda pemudi yang berjiwa besar, berpandangan jauh, berjiwa sufi, berakhlak mulia dan bersemangat tinggi. Ciri-ciri ini dapat digarap dengan menyediakan diri kita melalui proses TARBIYAH yang merangkumi pelbagai aspek dan elemen. Justeru itu, kita perlu memiliki sikap dan sifat KESENTIASAAN SEDAR yang dipacu oleh kehendak dan kemahuan yang kuat untuk membina diri.

Sahabat-sahabat dan sohibah yang budiman,


Ingin ana ulangi pesanan ana semasa HIMEGA’09 berkenaan beberapa perkara yang perlu kita ambil berat semasa di IPT :


Pertama, TARBIYAH. Soal pendidikan ini menjadi MASDAR, TUNJANG dan PANCAR utama untuk kita mengekalkan keislaman, keimanan dan kesolehan kita. Memandang enteng kepada tarbiyah, bererti kita memandang kecil kepada sesuatu untuk menjadikan kita HEBAT di sisi Allah SWT. Mengikut setiap program TARBIYAH dirancang dan disusun menjadi priority utama kita.


Kedua, AKADEMIK. Inilah tujuan kita di menara gading. Akademik yang ana maksudkan adalah ilmu yang membuahkan amal. Ilmu yang mencerahkan dan mendekat kita kepada Allah SWT. Tanda kesungguhan kita dalam Akademik adalah tanda kecintaan kita untuk mengenal diri dan member NILAI kepada diri. Keseimbangan antara akademik dengan perkara lain perlu diurus dengan BIJAK. Mukmin itu PINTAR dan BIJAK. Jangan gadaikan sesuatu besar kerana mengharapkan sesuatu yang kecil dan hina..


Ketiga, DAKWAH. UDMZ pernah berpesan: “ Tarbiyah tanpa dakwah tidak akan membawa kita kemana-mana.” Dakwah bereti kita ingin berkongsi dengan manusia tentang kenikmatan dan keindahan ISLAM dengan seruan dan ajakan yang berhikmah dan menepati tuntutan ajaran Islam. Usaha dakwah perlu diperhebatkan dimana sahaja kita berada. Serulah, untuk masa depan Islam yang gemilang.


Keempat, KEPIMPINAN. Medan IPT adalah medan yang subur untuk melatih kita menjadi seseorang yang mampu memimpin. Gilaplah diri dengan potensi yang diberi oleh Allah SWT. Pemimpin itu lahir melalui proses yang betul. Hajat kita, pemimpin yang lahir nanti mampu memimpin manusia ke arah penghayatan Islam yang sebenarnya.


Sekian dahulu, perkongsian yang ringkas.

“PERKASA TARBIYAH & GEMPUR DAKWAH “
Sekian,
BroHamzah

Website
Blog

Monday, August 31, 2009

Pesan Mentorku


Pesanan oleh Cikgu Rosdi , seorang mentor saya di sekolah menengah melalui SMS, Walaupun agak ringkas , namun cukup bermakna buat diriku ;

Anak-anak yang dikasihi,

Semoga sentiasa dalam pemeliharaan Allah.

`Orang bermaksiat berada dalam tawanan syaitan dan penjara hawa nafsu . Bagaimana dia dapat berjalan menuju Allah dengan hati yang ditawan dan dipenjara.`

Jagalah diri diri dosa dan maksiat.

Saturday, August 29, 2009

Wasiat Muhammad Abdoh

Assalamualaikum,

Satu wasiat inginku kongsi buat sahabat-sahabat yang
dikasihi,

Wasiat ini membuat daku bermuhasabah sebentar....

Muhammad Abdoh;

" Wahai saudaraku amilin dakwah,sebelum anda mengatakan tidak mampu menunaikan kewajipan yang telah diamanahkan kepadamu,sebelum lisanmu mengungkap tidak sanggup, aku sarankan agar anda berhenti sejenak untuk mengevaluasi kembali pekerjaanmu.

Tanyalah dirimu pertanyaan-pertanyaan berikut. Pertanyaan yang akan membantumu menyinari jalan dan menunjukkan kepadamu penyebab ketidakmampuan. Apabila anda mahu mengubati dan meluruskannya, maka anda akan dapat menunaikan kewajipan:

# Apakah anda mengatur waktu dengan betul?
# Apakah anda telah menyusun kewajipan dan pekerjaan
berdasarkan urutan keutamaan?
# Apakah anda telah lakukan pekerjaan dengan waktu
yang seimbang?
# Apakah ada pekerjaan menggunakan waktu lebih banyak
daripada diperuntukkan ?

Dan ingatlah selalu, wahai saudaraku amilin ikhwah, Allah telah memilih anda daripada sejumlah makhluk untuk mengembangkan risalah ini. Ketahuilah bahawa beban dakwah sangat berat dan memerlukan sangat banyak tenaga , sedangkan orang baik jumlahnya sedikit dan
anda adalah salah satu daripada yang sedikit itu. Minta tolonglah kepada Allah . Jadilah orang tertib dalam segala urusannya. Semoga Allah memudahkan segala urusanmu".

(Petikan tulisan Muhammad Abduh, Memperbaharui
Komitmen Dakwah, m/s 145-146)

Mulianya IKHWAN itu


Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah s.a.w.

Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah. Bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, baginda mengatakan bahawa baginda terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut–sebut sebagai ikhwannya.

Para sahabat merasa iri hati, hinggakan Saidina Abu Bakar bertanya, “Bukankah kami ini ikhwanmu?

Tidak, Abu Bakar, kamu semua adalah sahabat-sahabatku,kata Rasulullah. Ikhwanku itu,menurut Rasulullah s.a.w, adalah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka
.

Sedarlah Wahai Pemuda


SEDARLAH WAHAI PEMUDA !!!

Musuh-musuh Islam telah menggunakan berbagai-bagai taktik dan cara dalam usaha mereka untuk menghancurkan umat Isalm .Mereka menyerang Islam dan umatnya dengan alat senjata dan askar-askar,pemikiran dan ideologi serta akhlaq dan kebudayaan.


Semua bentuk serangan tersebut telah mendatangkan kemenangan kepada mereka . Umat Islam kalah dalam peperangan bersenjata , kalah di dalam peperangan pemikiran dan ideologi dan kalah dalam serangan akhlak dan kebudayaan . Tengoklah kepada realiti yang berlaku di negara-negara Islam. Mereka diserang dan dijajah baik dengan kekuatan tentera atau kekuatan ekonomi atau kekuatan media elektronik dan sebagainya.


Perhatikanlah cara hidup muda-mudi Islam hari ini malah majoriti orang-orang Islam telah terikut-ikut dengan cara hidup musuh-musuh Islam tanpa disedari seperti pergaulan bebas leleki dan perempuan , gaya hidup dan pemerintahan dan sebagainya seperti yang dianjurkan oleh musuh-musuh Islam.


Nauzubillahiminzalik


BANGUNLAH WAHAI PEMUDA

Musuh-musuh Islam memang bekerjasama sesama mereka untuk menumpaskan umat Islam dengan berbagai taktik dan tipu helah. Secara keras atau secara halus asalkan mereka dapat sampai kepada matlamat mereka iaitu menghancurkan umat Islam dan menghalang mereka daripada memerintah dan memimipin manusia ke arah keredhaan Allah swt.


Oleh itu, kita umat Islam perlu sedar dan berjaga-jaga dan perlu mengambil ikitbar daripada pengalaman yang silam agar kita tidak terperangkap berkali-kali dalam perangkap musuh dan sepatutnya orang-orang mukmin tidak dipagut di dalam lubang yang sama dua kali

(pepatah arab).


Orang-orang mukmin perlu memiliki kekuatan dalam berbagai bidang bagi melayakkan mereka memimpin dan sekali gus menyelamatkan manusia sejagat daripada terus berada di dalam kesesatan di bawah pimpinan jahiliyyah yang penuh dengan angkara kezaliman di serata pelusuk dunia.


Sanggupkah kita melihat umat Islam diburu, dibunuh, dihalau, diperkosa, dan berbagai-bagai bagi kekejaman yang dilakukan oleh musuh Islam di Bosnia, Palestin, Kashmir, Somalia, Burma, Sri Lanka, dan lain-lain negara yang minoritinya orang-orang Islam????

Umat Islam perlu membina kekuatan mangatasi kekuatan musuh dari segi ilmu pengetahuan, perancangan, peradaban demi mengembalikan kepimpinan Islam.


INSYALLAH

Wednesday, June 3, 2009

Jalan Taqwa [ 3 ] : Zikrullah sebagai Ruh dalam Melaksanakan Taklif



Hendaklah zikr (mengingati) Allah itu sentiasa menjadi roh dalam melaksanakan tanggungjawab. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini mesti ingat Allah, zikrullah dan tazakkur Allah. Apa yang kita buat hendaklah fillah dan lillah. Kena tentukan amalan kita itu mengikut syara’ dan ikhlas kerana Allah SWT. Jika tiada dua syarat ini maka tiada makna amalan kita walaupun kita menggadaikan nyawa kita. Jadi ingat Allah, ikhlas kerana Allah, dan juga dalam rangka mentatbiqkan (mempraktikkan) syariatNya dan peraturanNya, itulah roh dalam setiap tindakan. Jika tiada roh, tiada makna tindakan kita. Tindakan itu tindakan mati walau kita berjuang bermati-matian. Jadi pastikan setiap tindakan kita itu bersama dengan zikrullah.


" وَ أَقِمِ الصَلَوةَ لِذِكْرِيْ "


" وَ لِتُكَبِّرُوْا اللهَ عَلَى مَا هَدَيكُمْ "


Besarkanlah Allah SWT kerana telah kurniakan kepada kita hidayah dan tunjukkan kita jalan yang betul. Ia bukanlah sekadar melalui kata-kata kita, tapi hakikat Allah besar dan agung nampak dalam perjalanan hidup kita, bukan yang lain. Perkara ini tidak semudah disebut, ia perlu dilatih bersama. Maka ketika ini barulah hidup kita menjadi puas, hidup sebagai hamba Allah SWT, tidak menjadi hamba kepada yang lain. Kita ruku’ dan sujud di dalam solah sebagai hamba kepada Allah SWT bukan kepada yang lain. Kita pakai dan makan dengan pakaian dan makanan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Begitu juga dalam pergaulan kita malah dalam semua kehidupan kita.


Amal kerana Allah ialah perbuatan yang bersama dengannya kita ingat Allah. Kita buat bukan kerana lain, hanya kerana Allah, hanya ingat kepada Allah. Tiada matlamat lain yang boleh mengganggu di tengah jalan sebab kita sentiasa berhubung dengan Allah. Perkara ini sekiranya kita tidak latih ia akan terlatah juga. Nafsu sentiasa bisikkan matlamat yang lain selain Allah. Jika kita campurkannya rosaklah amalan kita. Jadi hendaklah amal kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.


Dari sini nampak syakhsiyah kita yang ikhlas kerana Allah SWT itu. Kerana ia telah menjadi satu tabiat dan malakah (kebiasaan), bukan berpura-pura atau menunjuk-nunjuk.


Jadi dengan kita meneliti dan merealisasikan jalan yang dikemukakan ini, kita telah sampai ke satu tahap di mana tiada jalan bagi syaitan untuk menggodai kita dengan izin Allah. Daripada Ibn ‘Abbas, sabda Rasulullah SAW:

" الشَيْطَنُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمِ فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَنَسَ وَ إِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ "


Inilah hakikat syaitan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Hakikat ini memang jelas dalam realiti hidup kita sendiri. Bisikan syitan memang kuat, sekiranya kita tidak memahami hakikat zikir Allah SWT maka kita akan dikuasai dan dipengaruhi oleh syaitan. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 201:


" إِنَّ الَّذِيْنَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفَةٌ مِنَ الشَيْطَانِ تَذَكَّرُوْا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ "


Inilah hakikat orang bertaqwa yang sentiasa ingat kepada Allah. Dia sedar apabila ia digoda oleh syaitan. Orang bertaqwa sentiasa dalam keadaan sedar. Untuk mendapat ini perlu bekerja kuat, kena tahu segala yang berkaitan dengan hukum Allah SWT, kena faham amanah Islam yang sebenarnya.


Untuk mendapat gambaran yang betul, mari kita melihat contoh dari generasi sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW. Ketika suatu peristiwa pembahagian harta rampasan perang di kalangan sahabat Muhajirin dan Ansar. Ketika ini syitan memainkan peranan membisik kepada sahabat bahawa pembahagian harta itu tidak adil bagi sahabat Ansar, melebihkan kaum Muhajirin berbanding mereka dsb. Perkara ini menimbulkan suasana yang genting di kalangan para sahabat Rasulullah SAW sehingga berkehendak kepada penyelesaian Rasulullah SAW. Rasulullah pun bertanya kepada mereka:


“Wahai Ansar, kamu tidak redhakah Rasulullah balik bersama-sama kamu, mereka yang lain balik bersama harta tapi kamu balik bersama-sama Rasulullah SAW?” Setelah Rasulullah sedarkan mereka maka mereka terus menangis! Menangis selepas mereka tersedar. Jadi inilah dia orang-orang yang bertaqwa.


UDMZ/Feb86